suria

Nombor Plat 'F' Untuk Putrajaya 'V' Untuk KL Mulai Jun

KUALA LUMPUR: Kenderaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur akan menggunakan nombor pendaftaran baharu masing-masing bermula dengan abjad 'F' dan 'V' mulai bulan hadapan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata nombor pendaftaran berkenaan akan diikuti dengan nombor 1 hingga 9999.

Ketika ini, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur menggunakan nombor pendaftaran yang bermula dengan abjad diikuti nombor dan abjad semula.

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan bulan Jun nanti untuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dilaksana selepas pelaksanaan di Putrajaya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini, Khamis.

Beliau berkata pelaksanaan nombor baharu itu berikutan nombor pendaftaran sedia ada terlalu rumit untuk dibaca serta kurang mendapat sambutan kerana pemilik kenderaan memilih untuk membida nombor pendaftaran dari negeri lain.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai pemantauan terhadap lori 'hantu' dalam kawasan pembinaan, perlombongan dan pembalakan yang menyebabkan berlaku kemalangan, Ab Aziz berkata satu Pasukan Tindakan Khas telah ditubuh bagi menangani isu berkenaan.

"Pasukan yang ditubuh oleh JPJ ini khusus untuk menangani kesalahan serius termasuk pemantauan pergerakan lori hantu di atas jalan raya yang mendatangkan kesulitan kepada orang ramai.

"Ia juga termasuk memantau pergerakan lori sampah yang mendapat konsesi kerajaan dan teksi yang dipandu warga asing," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau berkata kementerian juga bercadang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bertujuan memberi kuasa kepada JPJ memasuki premis pembalakan, perlombongan dan pembinaan bagi memantau lori hantu.

Artikel Lain