suria

Rahman: Guan Eng Tidak Jawab Soalan Projek Terowong

PETALING JAYA: Jawapan berkaitan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion setakat ini tidak dijawab dengan jelas oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, demikian menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Abdul Rahman berkata semua dokumen berkaitan dengan projek itu perlu didedahkan kepada umum supaya rakyat boleh membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.

Beliau mempersoalkan mengapa Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak menjawab soalan berkaitan sebaliknya menyerahkan kepada exconya.

"Sudah tentu isu penting seperti ini amat wajar dijawab oleh Ketua Menteri sendiri," kata Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional menerusi kenyataan pada Sabtu.

Abdul Rahman berkata walaupun beliau menghargai jemputan ke Komtar untuk melihat sendiri dokumen berkaitan, beliau percaya langkah berkenaan tidak memberi kesan besar kepada umum.

"Sebaliknya beliau harus menawarkan jemputan yang sama kepada orang lain, terutamanya mereka yang berada di Pulau Pinang," katanya.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan