IPOH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden pesawat latihan miliknya, Aermacchi MB-339 terhempas di Kampung Pandan Dalam, Nenasi, Pahang Selasa lalu. Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata siasatan merangkumi pelbagai aspek termasuk teknikal, kesilapan latihan dan kesilapan manusia. "Di peringkat interim kita dapati kejadian berlaku menjurus kepada masalah teknikal, tetapi tidak confirm lagi dan siasatan masih dijalankan. "Untuk mengetahui punca ia mengambil masa, ia bergantung kepada keadaan. Kadang-kadang kita kena bawa analisis (siasatan) ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 54/2016 di Institut Latihan Tentera Udara di sini, Sabtu. Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari pada Selasa itu, pelatih penerbangan Leftenan Mohd Hakimi Hairi patah kaki manakala jurulatih, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi tidak mengalami sebarang kecederaan. Menjelas lanjut, Roslan berkata TUDM mempunyai sekumpulan pegawai yang berpengalaman untuk menjalankan siasatan. Tambahnya TUDM juga akan menjalankan siasatan terhadap enjin pesawat latihan terbabit bagi menentukan sama ada ia boleh digunakan semula. Roslan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan dan TUDM mempunyai peraturan yang agak ketat sebelum sesebuah pesawat memulakan penerbangan. "Kita ada beberapa check list, panduan, arahan yang perlu diikuti. Kita akan tengok semua sama ada ok...kalau semuanya berjaya barulah pesawat boleh terbang," katanya. Sementara itu, Roslan menyambut baik kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Khamis lalu bahawa audit menyeluruh ke atas semua aset TUDM akan dilaksanakan oleh pihak ketiga bagi memastikan ia berada dalam keadaan terbaik. Hishammuddin berkata proses audit itu perlu segera dijalankan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Pada majlis itu, seramai 353 perajurit menamatkan latihan asas ketenteraan yang bermula sejak 31 Disember lalu. -- Bernama