BANTING: Barisan Nasional (BN) Selangor mengemukakan tujuh nama untuk dipertimbangkan sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, 18 Jun ini. Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar, yang juga pengarah PRK Parlimen Sungai Besar, berkata tujuh nama yang dikemukakan itu merupakan anak tempatan, mempunyai latar belakang berkelayakan tinggi dan memenuhi ciri sebagai calon boleh menang dalam pilihan raya itu. "Tujuh calon yang disenaraikan ini termasuk seorang calon wanita... yang paling muda berusia 30 tahun dan yang agak veteran berusia 60 tahun dan kesemua mereka merupakan anak jati tempatan. "Kita yakin calon-calon ini disukai dan akan diterima pengundi di Parlimen Sungai Besar, namun BN Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan calon mana yang layak untuk bertanding dalam PRK nanti," katanya kepada kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia peringkat negeri Selangor di Kolej Matrikulasi di sini, Ahad. Noh berkata BN Selangor juga sepakat menerima siapa sahaja calon yang dipilih dan akan memberi sokongan padu kepada calon berkenaan bagi memastikan kemenangan parti itu dalam PRK Sungai Besar. Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, suami Noriah, Asmuni Abdullah serta tiga yang lain termasuk juruterbang. Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.