suria

12 Mangsa Bot Hilang Selamat Tiba Di Jeti APMM

Bot nelayan yang membawa 12 warga tempatan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Aur , Mersing berjaya dikesan oleh aset udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Sedili petang Sabtu.

JOHOR BARU: Kesemua 12 mangsa bot memancing yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Aur, Mersing sejak Selasa, sebelum ditemui pada Sabtu, selamat tiba di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kuala Sedili dekat Kota Tinggi awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata, kesemua mangsa tiba di jeti berkenaan kira-kira 1 pagi dengan bot mereka ditunda oleh kapal APMM.

"Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan ketibaan mereka disambut anggota keluarga dan rakan-rakan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Rahmat berkata, siasatan mendapati berlaku kebocoran pada saluran minyak ketika bot tersebut dalam perjalanan pulang ke darat pada pagi Khamis lepas yang kemudiannya menyebabkan bot itu kehabisan minyak.

Bot nelayan itu, yang membawa seorang tekong, seorang awak-awak dan 10 kaki pancing, bertolak dari jeti Tanjung Sedili pada Selasa dan sepatutnya pulang pada Khamis.

Bagaimanapun, kedudukan terakhir bot itu dikesan di perairan Pulau Aur, kira-kira empat batu nautika dari Pulau Jemaja, Indonesia. 

Laporan kehilangan mangsa dibuat oleh isteri tekong yang juga pemilik bot itu pada 6.30 petang, dua hari lepas, setelah gagal menghubungi suaminya. 

Bot itu kemudian dikesan pada 6.15 petang Sabtu oleh aset udara APMM di kedudukan 25 batu nautika Timur Laut, Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi. - Bernama

APMM

Artikel Sebelum

Artikel Lain