suria

Pembantu Rumah Dibayar Untuk Buat Tugas Khusus

- Gambar hiasan
PETALING JAYA: Situasi di mana pembantu rumah melakukan pelbagai tugas seperti memasak, mencuci, menjaga bayi dan warga tua serta membasuh kereta akan berlalu.

Rakyat Malaysia kini perlu bersedia untuk membayar lebih bagi mendapatkan bantuan khusus.

Negara sumber seperti Indonesia mahu menghantar pembantu rumah yang ditingkatkan kemahiran mereka untuk tugas tertentu seperti penjaga dan pengasuh kanak-kanak, bukan lagi seperti pembantu rumah tradisional.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Jeffrey Foo berkata apa yang diperlukan sekarang adalah satu mekanisme bagi memastikan pembantu ini telah dilatih dengan betul dan disahkan.

Foo berkata Papa bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara sumber untuk mewujudkan situasi menang-menang.

"Majikan tempatan akan berpuas hati jika mereka apa yang mereka dapat berbaloi dengan apa yang mereka bayar, yang merupakan pembantu mahir yang boleh melakukan tugas yang diupah dengan baik," kata beliau.

The Star pada Isnin melaporkan bahawa Malaysia berdepan masalah kerana negara-negara jiran tidak lagi akan menghantar pembantu rumah di sini.

Foo berkata Indonesia, negara di mana kebanyakan pembantu rumah asing berkerja di sini tidak menutup pintu mereka sepenuhnya.

Sebaliknya, ia menggunakan pendekatan lebih profesional dengan dasar untuk menghentikan penghantaran pembantu rumah tinggal bersama majikan bermula tahun depan.

Menurut Foo, satu penyelesaian yang mungkin adalah dengan kerajaan memberikan lesen kepada syarikat-syarikat untuk membekalkan pembantu rumah sambilan kepada isi rumah yang memerlukannya.

Syarikat-syarikat ini boleh menjaga penginapan dan makanan pembantu rumah, tetapi ini memerlukan perubahan dalam dasar kerajaan.

Foo berkata pekerja asing yang dibawa masuk untuk membantu melakukan kerja-kerja pembersihan tidak sepatutnya dihantar untuk bekerja sebagai pembantu rumah domestik di rumah individu.

Presiden Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (Mama) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein menegaskan bahawa sistem semasa di mana pembantu rumah tinggal bersama majikan mereka selama dua tahun tidak selalunya ideal.

"Jika anda bernasib baik, maka ada keharmonian. Jika tidak, dua tahun anda tidak akan harmoni," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan supaya agensi-agensi tempatan dibenarkan membekalkan pembantu rumah sambilan.

Engku Ahmad Fauzi berkata, pada masa ini terdapat jangkaan yang berbeza antara majikan tempatan dan negara-negara sumber seperti Indonesia.

Di Indonesia, pembantu diupah dan dilatih sebagai penjaga untuk menjaga bayi, kanak-kanak dan warga tua atau sebagai pekerja domestik yang melakukan tugas memasak, mencuci dan mengemas.

M. Sarkuna, 40, seorang pembantu rumah Indonesia yang bekerja di sini berkata mereka yang menjaga bayi, kanak-kanak dan warga tua memperoleh sekurang-kurangnya RM800 di Jakarta, manakala mereka yang memasak mendapat kira-kira RM700.

"Gaji permulaan bagi mereka yang melakukan kerja-kerja rumah hanya RM500," katanya.

Di Malaysia, Engku Ahmad Fauzi berkata, majikan sering mengambil kesempatan terhadap pembantu rumah yang terpaksa melakukan pelbagai tugas.

Katanya pembantu yang terbaik dan paling terlatih tidak dihantar ke sini, namun 'majikan Malaysia mahu membayar upah yang paling rendah untuk mendapatkan khidmat terbaik'.

Cara untuk menangani masalah ini, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek, adalah dengan mengupah pembantu rumah dari negara sumber yang lebih murah dan lebih baik selain Indonesia dan Filipina, katanya.

"Tetapi rakyat Malaysia perlu berhenti bergantung kepada pembantu rumah domestik dalam jangka masa panjang," katanya.

Artikel Lain