suria

Tiga Wanita Antara 13 Ditahan Terlibat Ceti Haram

KUALA LUMPUR: Tiga wanita adalah antara 13 yang ditahan kerana terlibat dengan sindiket ceti haram atau 'ah long' dalam serbuan di sekitar Puchong dan Serdang, dekat sini, Jumaat lepas.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, SAC Roslan Abd Wahid berkata kesemua mereka yang ditahan berusia antara 22 dan 32 tahun.

Beliau berkata serbuan menerusi 'Op Vulture' yang bermula pada 1 tengah hari itu berjaya menahan hampir kesemua anggota termasuk ketua sindiket berkenaan.

"Hasil siasatan polis mendapati sindiket ini telah bergiat aktif sejak 2014 di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Johor dengan menawarkan pinjaman wang maksimum sehingga ratusan ribu kepada peminjamnya," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Roslan berkata pihaknya juga merampas sembilan kereta mewah antaranya BMW dan Mercedes Benz, wang tunai bernilai RM83,000, 37 kad ATM pelbagai bank dipercayai milik mangsa, 56 buku cek pelbagai bank, risalah iklan dan kad perniagaan.

Katanya, modus operandi mereka adalah menampal risalah iklan di tempat terbuka dan memberi kad perniagaan kepada orang awam yang memerlukan pinjaman wang.

"Kesemua nilai hasil rampasan sindiket berkenaaan dianggarkan RM1.6juta dan hasil semakan rekod polis mendapati sebanyak 19 laporan polis telah dibuat oleh orang awam ke atas sindiket itu.

"Rampasan dokumen peminjam wang mendapati nilai pinjaman mencecah perolehan sebanyak RM8 juta sepanjang sindiket itu beroperasi. Ini menjadikannya sindiket terbesar pernah ditumpaskan JSJK," katanya.

Roslan berkata kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400) iaitu menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen sah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM250 tetapi tidak lebih RM1juta atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Roslan berkata sehingga April lepas, polis merekodkan sebanyak 359 laporan kes ceti haram melibatkan nilai berjumlah RM4.5 juta manakala sepanjang 2015, sebanyak 823 kes sama dilaporkan dengan nilai berjumlah RM31juta.

ceti haram, JSJK, Roslan Abd Wahid

Artikel Berikut

Artikel Lain