Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, PKR, PAS dan Parti Amanah Negara perlu berhenti berunding sesama sendiri mengenai siapa yang patut bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
"Secara peribadinya saya nak nasihatkan kepada PKR, PAS dan Amanah, tidak perlu berunding sesama mereka. Masing-masing berlawan, tunjukkan kejantanan masing-masing.
"Rakyat akan tentukan siapa yang hebat antara mereka. Untuk apa berunding? Lagi ramai bertanding menuju ke arah demokrasi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
"BN telah bersedia dengan apa sahaja kemungkinan, termasuk pertandingan lebih daripada dua penjuru," katanya.
Parti-parti pembangkang telah berunding mengenai dua kerusi itu dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang didakwa mengeluarkan 'kata dua' kepada PAS untuk tidak bertanding di Sungai Besar atau tiga ahli Exconya akan dipecat daripada pentadbiran Selangor.
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang telah menegaskan bahawa parti itu akan meletakkan calon dalam kedua-dua PRK.
Amanah juga telah mengulangi pendirian untuk menyertai saingan itu dengan meletakkan calon.