suria

Umno Perlu Jawab Tohmahan Dr Mahathir - Annuar Musa

Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Umno perlu menjawab tohmahan yang  dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengelak rakyat terpengaruh dengan segala dakwaan bekas perdana menteri itu.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata parti itu tidak boleh mengambil mudah terhadap segala tohmahan yang dilemparkan Tun Mahathir ketika parti sedang berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"Bahaya kalau kata tidak apa. Sekarang ini kita tidak boleh nak agak, terutama terhadap pengundi muda, pengundi bukan Melayu, dan banyak faktor yang kita kena tengok.

"Tetapi kalau kita di pihak benar tidak semestinya rakyat akan terpengaruh dengan beliau (Dr Mahathir), katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini Rabu.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata Barisan Nasional (BN) perlu bimbang terhadap pendirian Dr Mahathir yang akan membantu pembangkang menewaskan BN dalam PRK itu.

Sehubungan itu, katanya jentera BN perlu bekerja keras bagi memastikan kedua-dua kerusi Parlimen itu dapat dipertahankan.

"Kalau tengok di Sarawak (Pilihan Raya Negeri) memang nampak tidak ada kesan apa-apa tapi kita tidak boleh pandang remeh (PRK). Kita kena kerja kuat. Yang penting kita kena buat penjelasan," katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad korban nahas helikopter di Sarawak, 5 Mei lepas. 

Kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 18 Jun manakala penamaan calon pada 5 Jun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain