suria

Dr Khir Boleh Menang Di Sungai Besar - Nazmi

Dr Mohd Khir Toyo.

KLANG: Bekas Setiausaha PKR Selangor, Nazmi Rosli menyifatkan Dr Mohd Khir Toyo sebagai calon yang boleh menang jika terpilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar kerana mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan itu.

Nazmi yang juga rakan rapat Dr Khir berkata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu melakukan banyak sumbangan di kawasan tersebut semasa beliau menerajui kerajaan Selangor.

Sungai Panjang adalah salah satu daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Sungai Besar.

Dr Khir akan bebas pada Jumaat selepas menamatkan hukuman penjara bermula pada 29 September 2015 dan selepas diberikan parol pada 29 Mac lalu.

Beliau tidak menghadapi sebarang sekatan untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar kerana hukuman yang dijalaninya tidak melebih tempoh setahun.

Nazmi berkata Dr Khir juga boleh menang dengan majoriti undi lebih besar jika bertanding pada PRK Sungai Besar, 18 Jun ini.

"Beliau adalah seorang Adun selama tiga penggal dan melakukan banyak sumbangan semasa berkhidmat sebagai menteri besar.

"Beliau adalah anak tempatan dan keluarganya juga amat dikenali dan dihormati di kawasan itu," kata Nazmi yang kini ahli aktif Umno.

Menurut Nazmi, Adun Sungai Panjang Budiman Zohdi adalah anak didik Dr Khir dan faktor itu turut mempengaruhi undiannya.

Beliau berkata pada pilihan raya umum yang lalu, Budiman menang dengan majoriti 2,183 undi manakala Allahyarham Datuk Noriah Kasnon memperoleh majoriti 399 undi.



Dr Khir Toyo, PRK Sungai Besar

Artikel Lain