suria

Ipoh Sedia Bazar Ramadan Bertaraf Lima Bintang

Datuk Zambri Man

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) buat julung kalinya menyediakan perkhidmatan lima bintang kepada pengunjung serta peniaga bazar Ramadan tahun ini menerusi pengenalan 'Ibu Bazar Ramadan'.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Zambri Man berkata antara ciri utama bazar itu termasuk mempunyai surau sementara bagi lelaki dan wanita yang dilengkapi kemudahan mengambil wuduk serta khemah khas buat peminta derma serta amil.

Katanya setiap bazar juga akan menempatkan sekurang-kurangnya 100 peniaga dan penganjur perlu menyediakan pintu gerbang untuk menarik lebih ramai pengunjung.

"Khemah khas untuk peminta sedekah atau derma itu kita akan kawal, contohnya peminta derma mestilah yang diluluskan supaya tidak ada yang ambil kesempatan," katanya ketika berucap dalam Sesi Townhall bersama peniaga bazar Ramadan di sini.

Menurut Zambri buat permulaan Ibu Bazar Ramadan akan dibuka di Perkarangan Stadium Perak, Medan Gopeng, Taman Perpaduan, Taman Tasek Indera dan Taman Desa Aman.

Menjelas lanjut, Zambri berkata pembaharuan konsep yang dilakukan MBI itu bertujuan menjadikan bazar Ramadan di Ipoh sebagai bazar terbaik di Malaysia.

"Kita harapkan Ibu Bazar Ramadan ini mempunyai pengurusan, peniaga dan pembeli bertaraf lima bintang di samping 17 lagi lokasi bazar biasa di seluruh Ipoh," katanya.

Zambri turut menasihati semua peniaga supaya memberi komitmen terbaik sepanjang Ramadan termasuk mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

"Bazar Ramadan kita adalah untuk semua rakyat Perak dan kita harap satu masa nanti seluruh penduduk negeri ini teringin untuk datang serta membeli di sini (Ipoh)," katanya. 

Ipoh, Ramadan

Artikel Lain