KUALA LUMPUR: Laporan polis telah dibuat oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung dokumen sulit kerajaan yang disiarkan di laman Wall Street Journal (WSJ). Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan WSJ itu adalah serius dan polis perlu melakukan siasatan. "Polis kena siasat, ini sangat serius. "Menyiarkan dokumen sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) adalah tindakan sangat serius bagi pihak mereka dan mereka mestilah boleh memberikan jawapan kepada kita" katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, Jumaat. Najib mengulas mengenai surat yang didakwa diberikan BNM kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Ariffin. Surat itu didakwa berkaitan status pemilikan Good Star Limited yang mempunyai kaitan dengan Jho Low. Ditanya mengenai sejauh mana kesahihan surat tersebut, Najib berkata, hanya siasatan dapat menentukannya. "Saya tak tahu, biar polis siasat. Kita kena pastikan siasatan dulu," katanya.