suria

Khir Toyo Bebas, Tamat Tempoh Parol Dua Bulan

PETALING JAYA: Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo pada Jumaat menamatkan tempoh parol dua bulan selepas enam bulan menjalani hukuman di Penjara Kajang.


Parol itu yang bermula 29 Mac lalu diberikan setelah Ahli Lembaga Parol bersetuju meluluskan permohonan yang dikemukakan peguam Dr Mohamad Khir.

Dr Mohamad Khir menandatangani dokumen tamat parol pada pukul 9.40 pagi di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Klang.

Sistem parol adalah sistem di mana banduan menjalani baki hukuman di luar penjara di bawah pengawasan pegawai parol untuk tinggal bersama keluarga.


Sepanjang tempoh parol selama dua bulan itu, Dr Mohamad Khir perlu melaporkan diri ke pejabat Lembaga Parol di Klang setiap minggu dan perlu mematuhi 41 syarat yang dikenakan.

Antara syarat parol itu adalah beliau mesti berada di sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya sepanjang tempoh parol.

Beliau juga mesti berada di rumah antara pukul 7 malam hingga 7 pagi dan tidak boleh mengeluarkan kenyataan kepada media.

Pada 22 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Dr Mohamad Khir dan mengekalkan sabitan terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta daripada Ditamas Sdn Bhd sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Disember 2004.

Artikel Lain