PUTRAJAYA: Satu daripada aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), yang dilaporkan mengalami kerosakan pagi Jumaat, menyambung semula operasi pada 10.38 pagi, kata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Seorang pegawai dari MAHB berkata perkhidmatan bas digerakkan dengan segera untuk menangani situasi. "Kesesakan yang berlaku telah dapat diatasi pada 10.15 pagi. Sebuah tren telah kembali beroperasi seperti biasa tetapi perkhidmatan bas masih digunakan. Kami memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan itu," kata beliau kepada Bernama. Dalam catatan rasmi Facebook, MAHB berkata aerotren yang menghubungkan terminal utama KLIA ke bangunan satelit sedang menjalani penyelenggaraan untuk membaiki kerosakan. "Sila hubungi kaunter informasi kami untuk bantuan. Kami mohon maaf atas sebarang kesukaran yang berlaku," kata MAHB. Mengenai perkembangan aerotrain kedua, beliau berkata "kami akan mengemaskini maklumat mengenai situasi secara berterusan di laman rasmi twitter dan Facebook kami". Terdahulu, netizen menyuarakan kemarahan mereka di media sosial selepas perkhidmatan kedua-dua aerotren terhenti kira-kira 8 pagi. Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membuat kenyataan menerusi akaun twitternya hari ini bahawa penumpang terkandas setibanya di KLIA sekafrang. Tren tidak beroperasi. Tolong lakukan sesuatu MAHB dan menteri-menteri". Seorang pengguna Facebook, Max-F. Scheichenost menggesa pihak berkuasa memikirkan bagaimana untuk menguruskan operasi kedua-dua aerotren. "Tiada maklumat. Hanya dua bas untuk mengangkut 1,000 penumpang yang terkandas. Seorang penumpang pengsan di tengah-tengah situasi itu kerana respon yang kurang. Kamu harus berfikir bagaimana untuk menguruskan operasi jika kedua-dua tren tidak beroperasi," katanya. Pengguna Facebook juga memuat naik gambar yang menjadi viral mengenai beratus-ratus orang penumpang yang terkandas menunggu aerotren dengan perasaan risau. Mengenai dakwaan seorang pengguna Facebook bahawa seorang penumpang telah pengsan semasa perkhidmatan mengalami gangguan, MAHB menjelaskan bahawa dakwaan itu tidak benar. MAHB menasihatkan semua penumpang yang hendak menaiki penerbangan antarabangsa supaya bertolak awal ke lapangan terbang untuk perjalanan yang lancar. "Memandangkan cuti persekolahan, kami menjangka bilangan penumpang akan meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang. Sila datang ke kaunter petugas kami untuk bantuan selanjutnya," kata MAHB. MAHB berkata memandangkan kerja-kerja penyelenggaraan kedua-dua aerotren di KLIA, perkhidmatan bas disediakan untuk membawa penumpang. Sementara itu, MAHB meminta penumpang menuju terus ke ruang menunggu bas untuk perkhidmatan membawa mereka ke Bangunan Satelit. Ini merupakan insiden kedua dalam masa hampir dua dua bulan. Pada 8 April, perkhidmatan aerotrain di lapangan terbang itu terhenti kerana menjalani penyelenggaraan untuk membaiki kerosakan.