PETALING JAYA: The Star Online berada di kedudukan tertinggi bagi portal berita pada Mac, menurut laporan terbaharu Persatuan Digital Malaysia (MDA). The Star Online berada di kedudukan kesembilan secara keseluruhan daripada 20 laman web tempatan yang dikunjungi menggunakan komputer desktop di Malaysia, dengan 917,000 pengunjung unik. Menurut laporan itu, laman web The Star, www.thestar.com.my mendahului Malaysiakini, Sinar Harian dan Harian Metro, masing-masing di kedudukan ke-12, 17 dan 18. Portal perbankan Maybank, maybank2u.com.my kekal di tempat teratas dengan lebih 3.5 juta pengunjung unik, diikuti cimbclicks.com dan airasia.com, masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Sementara itu, The Malaysian Insider yang menghentikan operasi pada 14 Mac lalu buat kali terakhir berada dalam senarai teratas bagi portal berita yang paling banyak dikunjungi. Ia berupaya mendapatkan 286,000 pengunjung unik dalam tempoh dua minggu terakhir penerbitannya.