SUNGAI PETANI: Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas. Semasa sidang media di sini Sabtu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun dan ahli exco Kedah itu berkata beliau bagaimanapun memilih untuk kekal mesra Barisan Nasional (BN). Dr Leong, 56, mengumumkan keluar daripada MCA pada Jumaat sebagai bantahan susulan usul persendirian Rang Undang-Undang (RUU) mengenai hudud dibentangkan di Parlimen. "Saya menerima banyak panggilan termasuk dari Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Perdana menteri berjanji untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang positif. Beliau memberi jaminan tidak akan membuat keputusan yang melanggar perlembagaan negara," katanya. Dr Leong berkata beliau masih lagi berdiri teguh di belakang Najib dan Liow. "Apa sahaja janji yang diberikan kepimpinan tertinggi di negara ini, rakyat masih mahu melihat hasilnya," kata Dr Leong. Dr Leong berkata tiada keperluan untuknya meletak jawatan sebagai ahli exco kerana beliau dilantik oleh Menteri Besar Kedah. "Saya akan membiarkan presiden parti, Liow dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memutuskan mengenai perkara ini," katanya. Sementara itu, Ahmad Bashah perlu diberi ruang dan waktu untuk menimbangkan semula keputusannya itu. "Dia sedang bercuti. Lepas dia kembali, saya akan bertemu dengannya. Tapi saya memang sudah bercakap (dengannya) dalam (perbualan) telefon. "Kami akan menyelesaikan perkara ini dengan cara semangat Barisan Nasional," katanya.