SUBANG JAYA: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MIC di sini pada Ahad meluluskan penangguhan pemilihan parti itu ke suatu tarikh selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14). Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata perwakilan parti kaum India itu turut bersetuju untuk memberikan mandat dan kuasa kepada anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk berbincang serta mengambil keputusan berhubung membawa kembali ahli-ahli MIC yang hilang keanggotaan parti selaras dengan perlembagaan MIC. Mengulas tindakan penyokong bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel yang membuat kecoh di luar dewan sewaktu EGM berlangsung, Dr Subramaniam berkata EGM yang diadakan hari ini adalah sah dan mengikut peraturan dan perlembagaan parti. Terdahulu, suasana di luar dewan menjadi tegang apabila kira-kira 50 individu yang dipercayai penyokong Palanivel membuat kecoh. Bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R. Ramanan pula mendakwa dijemput tetapi tidak dibenarkan untuk masuk dan menyertai EGM itu. EGM yang berlangsung selama tiga jam itu turut menyaksikan beberapa isu semasa berkaitaan masyarakat India seperti isu pendidikan, peluang kerja dan isu penukaran agama hangat dibahaskan para perwakilan.