suria

Yeoh, 'Naga Laut' Pencari Mayat Di Laut Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Seorang nelayan, Yeoh Lye Hin diberi nama panggilan sebagai hai guai ( naga laut dalam bahasa Cina) kerana sebabnya yang tersendiri.

Ini kerana sejak lima dekad lalu, dia telah terlibat dalam pencarian sekurang-kurangnya 80 mayat di laut Pulau Pinang, termasuk melakukannya secara seorang diri.

Ketika Tsunami pada 2004, dia menyelusuri sepanjang Pantai Pasir Panjang di Balik Pulau dalam oeprasi mencari dan menyelamat. Seramai 52 orang terbunuh dalam kejadian Tsunami di Pulau Pinang dan 34 daripadanya di Pantai Pasir Panjang.

"Tidak ramai yang berani menghampiri mayat, apatah lagi menariknya naik dari air.

"Bukan mudah untuk menarik mayat yang telah kembung di dalam air," katanya ketika ditemui di jeti Jalan Tun Dr Lim Chong Eu, Jelutong.

Yeoh merupakan individu yang boleh dipanggil pada bila-bila masa sahaja apabila terdapat orang terjun atau terjatuh ke dalam laut dari jambatan Pulau Pinang atau jeti berdekatan.

Jelasnya, ketika berusia lapan tahun, dia telah mula menaikkan mayat dari laut bersama sekumpulan penduduk.

"Ketika itu penduduk sedang kecoh tentang penemuan mayat dilaut.

"Saya percaya mayat itu adalah mangsa bunuh kerana terdapat kesan luka dan persaingan antara samseng juga sengit ketika itu," ceritanya.

Yeoh berkata, terdapat ahli keluarga mangsa yang terjun daripada jambatan Pulau Pinang menawarnya sebanyak RM5,000 untuk mencari mayat.

"Tetapi saya tidak dapat terima wang itu kerana mereka (keluarga mangsa) juga pasti sedih kerana kehilangan ahli keluarga.

"Bagaimana saya nak ambil wang itu," ujarnya.

Kisah di laut yang dilalui Yeoh bukan sekadar mencari dan membawa naik mayat tetapi dia turut berjaya menyelamatkan mangsa bot karam.

"Saya masih ingat semasa menyelamatkan enam daripada tujuh pemancing apabila bot mereka terbalik berhampiran jambatan Pulau Pinang.

"Ada juga sekali itu, saya menyelamatkan lima orang daripada lemas, ia berlaku pada 80-an," jelasnya.

Yeoh memberitahu, berdasarkan pengalamannya, mayat mangsa lemas akan terapung selepas 26 jam berada dalam air.

Menurutnya, dalam tempoh itu agak sukar untuk menemui mayat lemas dan keluarga diminta melakukan sesuatu mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Artikel Lain