CAMERON HIGHLANDS: Sebuah jambatan Bailey akan dibina di Batu 49, Kuala Terla di sini secepat mungkin selepas jambatan sedia ada yang merupakan laluan utama penduduk Orang Asli Pos Terisu runtuh akibat rempuhan air sungai awal pagi Ahad. Pegawai Daerah Cameron Highlands Datuk Abdul Rahman Hamzah berkata pembinaan jambatan berkenaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka siap Khamis ini, sekali gus memberi kelegaan kepada 853 penduduk yang terjejas. "Dijangkakan bahan-bahan untuk kerja pembinaan akan sampai selewat-lewatnya petang Selasa, bagaimanapun pembinaan jambatan itu amat mudah dan tidak makan masa yang lama. "Jambatan Bailey itu kita bina di tapak jambatan lama bagi memudahkan penduduk melakukan kerja harian mereka," katanya. Jambatan sepanjang 12.2 meter itu terletak di laluan arus dua anak sungai iaitu Sungai Tringkap dan Sungai Kuala Terla sebelum bertembung masuk ke sungai utama iaitu Sungai Ulu Telom. Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, R.Kumaransamy, 64, merayu kerajaan agar membina jambatan kekal yang lebih kukuh dan tinggi agar kejadian sama tidak berulang. Bapa kepada tiga orang anak itu berkata ketika hujan lebat awal pagi semalam, mereka sekeluarga tidak mampu melelapkan mata kerana bimbang kemungkinan berlaku bencana. "Dalam hati terfikir-fikir apa kejadian buruk yang mungkin berlaku, pagi esoknya saya lihat jambatan telah runtuh dan ini kejadian paling teruk sejak 40 tahun saya menetap di sini," katanya. Lai Kah Leong, 33, seorang pekebun pula berkata kejadian jambatan runtuh itu menyebabkan kesekukaran pihaknya menghantar hasil pertanian kepada peniaga. "Banyak masa perlu dihabiskan untuk memunggah sayur dan bunga kerana kenderaan besar tidak boleh masuk. Saya dan pekerja terpaksa ulang alik berkali-kali menggunakan motosikal untuk mengangkut barang-barang ini," katanya. Bagi Robert Brook, 37, penduduk Orang Asli dari Kampung Getah, beliau bersyukur kerana kejadian itu berlaku ketika musim cuti sekolah. "Kalau anak-anak masih bersekolah memang susahlah penduduk sebab jambatan besi (sementara) ini amat bahaya untuk mereka gunakan. Mungkin boleh gunakan jalan lain tapi amat jauh dan hanya boleh dilalui oleh motosikal," katanya. Sementara itu Pengerusi Persatuan Pekebun India Cameron Highlands P. Viswanathan berkata walaupun agak sukar namun kerja-kerja memuat naik hasil pertanian terpaksa dilakukan bagi memenuhi permintaan dari dalam dan luar negara. "Di dalam ini ada lebih kurang 120 petani yang menanam sayur dan bunga. Hasil ini pula akan dieksport ke seluruh negara dan Asia terutamanya di Singapura," katanya. - BERNAMA