JOHOR BARU: Seorang kontraktor berusia 29 tahun dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana mengedar kanabis seberat 14.49 kilogram (kg) di sebuah terminal bas di sini. M.A. Dickson didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin kerana melakukan kesalahan itu di Terminal Bas Larkin kira-kira pukul 7.45 malam, 9 Mei 2013. Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 apabila dia ditemui membawa bersama beberapa paket kanabis di dalam dua beg sebaik tiba di terminal bas tersebut. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr. Sabirin Ja'afar berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan mengarahkan Dickson menjalani hukuman gantung. Apabila hukuman itu diumumkan, Dickson berpaling ke arah isterinya yang duduk di galeri awam.