KUALA LUMPUR: Kanak-kanak harus diberikan akses yang sama terhadap peluang mengembangkan bakat mereka dalam menyiapkan diri menghadapi masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata dalam dunia hari ini yang berpandukan sains dan teknologi, kanak-kanak harus dilengkapi dengan kemahiran dan ilmu yang betul yang akan membolehkan mereka untuk menyertai sepenuhnya proses inovasi dengan kecekapan yang ada, disiplin diri, jati diri dan peka terhadap orang lain. "Dan mereka hanya boleh melakukannya jika mereka mempunyai keyakinan untuk berdepan dengan dunia. "Kita harus melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk membuat pilihan yang baik, supaya akibat daripada pilihan mereka ini adalah untuk kepentingan manusia dan juga mereka," katanya dalam ucapan perasmian persidangan antarabangsa Permata 2015 dengan tema 'Kanak-Kanak Melangkaui Esok' di sini, Selasa. Najib berkata sains dan teknologi telah membawa kepada transformasi dalam hampir semua sektor, seperti pengeluaran makanan, tenaga, perubatan, alam sekitar, pertahanan dan keselamatan. Oleh itu, katanya, bagaimana kita menggunakan idea baharu, ilmu dan pengetahuan baharu akan menentukan sama ada inovasi akan membantu manusia atau memberikannya kesan negatif. "Bila mereka membesar, kanak-kanak ini akan menjadi mereka yang berhadapan dengan hasil inovasi itu dan meletakkannya untuk diuji dalam dunia sebenar. Kita mahukan mereka berupaya membuat pertimbangan yang baik, memilih dengan betul dan menggunakannya secara bertanggungjawab, sambil menolak apa yang mendatangkan keburukan dan membawa kerugian. "Jadi apa yang kita lakukan hari ini adala amat penting untuk mencapai hasil yang terbaik bagi kanak-kanak hari esok. Dan persiapan bagi kanak-kanak hari ini bukan hanya melibatkan pendidikan dan latihan, tetapi juga daya kepimpinan, untuk menggalakkan mereka membangunkan visi perubahan, pengawasan untuk dunia yang akan diwarisi mereka," katanya. Semasa berucap kepada 1,900 anggota perwakilan dari kalangan pemimpin asing, pakar dan penyokong pendidikan awal kanak-kanak, yang menghadiri persidangan tiga hari itu, Najib berkata kerajaan menyokong usaha membentuk kanak-kanak melangkaui hari esok dengan menyediakan rangka tindakan bagi sains, teknologi dan inovasi.