IPOH: Seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan samun 'Geng Rem Sawit' ditembak mati oleh anggota polis di Lebuhraya Ipoh-Lahad dekat Taman Lahad Indah, kira-kira 13 kilometer dari sini malam Isnin. Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, sepasukan anggota polis pada mulanya bertembung dengan suspek yang sedang menunggang motosikal. "Menyedari kehadiran polis, suspek yang berumur 24 tahun itu secara tiba-tiba melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis apabila dia cuba ditahan. "Salah satu tembakan suspek telah mengenai pintu kereta peronda. Dalam usaha mempertahankan diri, anggota polis telah membalas tembakan dan terkena pada badan suspek," katanya dalam sidang media di sini Selasa. Beliau berkata susulan kejadian itu, pihak polis turut melakukan dua serbuan berasingan di Ipoh dan Batu Gajah kira-kira 2 pagi tadi bagi mengesan anggota kumpulan terbabit. "Hasilnya polis berjaya menahan dua lelaki berumur 26 dan 33 tahun.Kedua-dua supek dan lelaki yang ditembak itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah, bunuh dan samun," kata Hasnan. Beliau berkata geng berkenaan dikesan aktif melakukan samun sekitar Ipoh, Batu Gajah, Kampar dan Tapah mulai awal tahun ini. "Kumpulan ini turut terlibat dalam satu kes samun di pejabat timbangan sawit di Tapah yang menyebabkan kerugian lebih kurang RM30,000," katanya. Beliau berkata polis kini sedang mengesan beberapa lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas.