suria

Sabitan Rasuah Terhadap Bekas Pengurus Besar Sime Darby Engineering Kekal

Md Zaki Othman.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Selasa mengekalkan sabitan lima pertuduhan rasuah lebih RM180,000 terhadap bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd di Pasir Gudang.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara daripada 27 tahun kepada 10 tahun ke atas Md Zaki Othman, 54, dan membenarkan rayuan Md Zaki untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan  Md Zaki hanya perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun kerana hukuman itu berjalan serentak bermula Selasa.

Ab Karim membuat keputusan itu selepas mendapati tiada kecacatan dalam penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen pada 12 April 2012, oleh itu Mahkamah itu tiada sebab untuk mengganggu keputusan hakim Mahkamah Sesyen.

"Hukuman penjara adalah sesuai untuk kes-kes rasuah bagaimanapun hukuman penjara yang terlalu panjang adalah tidak sesuai bagi kes ini kerana pendakwaan adalah sama walaupun tarikh yang berlainan," katanya yang menolak rayuan Md Zaki terhadap sabitan lima pertuduhan rasuah.

Pada 12 April 2012, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM168,000 atau 18 bulan penjara bagi pertuduhan pertama; dan pertuduhan kedua hukuman penjara lima tahun dan denda RM108,500 atau 20 bulan penjara.

Bagi pertuduhan ketiga dia dihukum penjara lima tahun dan denda RM153,000 atau 20 bulan penjara; pertuduhan keempat hukuman penjara enam tahun dan denda RM164,900 atau 24 bulan penjara; dan pertuduhan kelima hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM300,000 atau 30 bulan penjara.

Dia perlu menjalani hukuman penjara 27 tahun dan membayar denda RM894,400 selepas mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, Md Zaki didakwa menerima suapan RM33,600 bagi bayaran set perabot daripada seorang kontraktor, Abdul Salam Ahmad, di rumahnya di Jalan Austin Perdana 2/11, Taman Austin Perdana di sini pada 10 pagi, 14 Disember 2007 sebagai dorongan membantu Abdul Salam mendapatkan Surat Hasrat bagi satu projek.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menerima jam tangan jenama Rolex bernilai RM21,700, juga daripada Abdul Salam di alamat yang sama pada 9 malam 10 Mac 2009, sebagai upah membantu melulus dan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan berhubung satu kontrak.

Bagi pertuduhan ketiga, Md Zaki didakwa meminta suapan berupa seutas jam tangan berjenama IWC berharga RM32,980 daripada Abdul Salam di Hour Glass Sdn Bhd, pusat beli-belah Lot 10 di Jalan Sultan Ismail di sini antara 1.30 tengah hari dan 4.30 petang antara 13 Mac 2009 dan 15 Mac 2009.

Pertuduhan keempat, pula Md Zaki didakwa bersetuju terima suapan berupa jam tangan berjenama Hublot berharga RM60,000 daripada orang sama pada 10 pagi antara 13 Mei 2009 dan 15 Mei 2009, sebagai upah membantu melulus dan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan berhubung kontrak itu.

Bagi pertuduhan terakhir, Md Zaki didakwa meminta suapan RM33,600 daripada Abdul Salam bagi bayaran set perabot di Europe Asia Furniture Expo Sdn Bhd, Jalan Universiti, Petaling Jaya dekat sini pada 28 November 2007.

Pendakwaan dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Md Zaki diwakili peguam Harvinderjit Singh manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrain Omar. - BERNAMA

rasuah, mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Lain