KOTA BARU: PAS perlu mengambil kira peranan pengundi muda bagi menentukan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang. Wakil Pemuda PAS Kelantan, Ariff Abdullah berkata, parti seharusnya bergerak secara proaktif bagi mengumpul lebih ramai pengundi dalam tempoh dua tahun menjelang pilihan raya. "Segmen anak muda yang mewakili sebahagian pengundi perlu diambil kira supaya kemenangan akan berjaya dengan komitmen anak-anak muda. "Justeru, dua tahun yang ada ini hendaklah mendaftar mereka sebagai pengundi seramai mungkin," katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pada Muktamar Dewan Pemuda di sini, Rabu. Pada Selasa, Nik Abduh berkata, dianggarkan jumlah pengundi mencecah 15 juta orang di mana 7.5 juta pengundi muda dan pemilih baharu. Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS perlu memastikan jentera pilihan raya di setiap peringkat bersiap siaga yang antaranya memberi tumpuan kepada pengundi muda.