Rusdi, 48 yang sebelum ini dinaikkan pangkat kepada SAC, menggantikan Datuk Zainuddin Ahmad yang bertukar ke JSJ Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dan Timbalannya, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali.
Amar Singh berkata pihaknya berterima kasih terhadap segala jasa yang dicurahkan Zainuddin sepanjang menjawat jawatan Ketua JSJ Kuala Lumpur sejak Januari tahun lalu.
"Tahniah juga diucapkan kepada pengganti beliau, Rusdi yang banyak pengalaman dalam siasatan jenayah selain pernah terlibat dalam siasatan kes MH17, " kata Amar Singh.
Sementara itu, Rusdi yang berpengalaman dalam bidang siasatan jenayah kira-kira lima tahun di Selangor berharap dapat mempraktikkan apa yang dilakukan sebelum ini untuk disesuaikan di Kuala Lumpur.
"Sebagai Ketua JSJ, siasatan yang dijalankan amat penting kerana saya sudah lama dalam bidang ini jadi kita kena bekerja secara efisien, cepat dan profesional dan berharap semua anggota dan pegawai dapat memberi kerjasama kepada saya," katanya.
Rusdi yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-undang dan Ijazah Sarjana Pengajian Sains Sosial pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan JSJ Kelantan sebelum ditukarkan ke Selangor.