SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan kenaikan gred untuk 1,263 penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang berkuat kuasa 1 Julai ini. Ia melibatkan seorang Ketua Penyelia Kanan Kemas Negeri yang dinaikkan gred daripada S27 kepada S32; 178 penyelia kanan (S22 ke S27); 164 penyelia pra sekolah (S17 ke S27) dan 920 penyelia pelbagai jurusan (S17 ke S22). Najib, yang menerima tepukan gemuruh ketika mengumumkan berita gembira itu pada Perhimpunan Perdana Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat bersempena Hari Pendidik 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang di sini Khamis, berharap penambahbaikan itu dapat meningkatkan komitmen warga Kemas untuk kejayaan negara. "Mudah-mudahan dengan pengumuman kenaikan gred ini sebagai proses penambahbaikan secara berterusan, ia diharap akan memberi nafas baharu kepada warga Kemas untuk menjadi lebih produktif dan daya juang serta lebih komited menonggak kejayaan negara," katanya. Pada majlis itu, Najib merakam penghargaan atas sumbangan anggota Kemas terutama di kawasan pedalaman. "Apabila saya turun di kawasan pedalaman itu, orang pertama yang saya jumpa ialah anggota Kemas berbaju merah. Terima kasih Kemas kerana membantu kerajaan," katanya. Perdana Menteri juga menyifatkan pendidik Kemas sebagai anggota barisan hadapan selaku perantara rakyat dan kerajaan untuk menyampaikan dasar kerajaan. Menyingkap sejarah Kemas yang ditubuhkan pada 1961, Najib berkata Allahyarham ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein bersama anggota Kemas, meneruskan perjuangan menghapuskan buta huruf di kalangan orang dewasa di luar bandar. Katanya agenda buta huruf telahpun selesai hari ini dengan kadar literasi negara mencapai 98 peratus, sekaligus meletakkan Malaysia antara negara yang tertinggi di dunia dari segi kadar literasi. Najib berkata kerajaan sedang membantu proses transformasi masyarakat luar bandar dari segi pendapatan yang mana pendapatan golongan itu perlu dilonjakkan sejajar apabila negara mencapai negara maju menjelang 2020. "Kita tidak mahu wujud perbezaan begitu ketara dalam negara kita. Walaupun kita tidak dapat mengelakkan perbezaan pendapatan antara bandar dan luar bandar, tetapi jurang itu hendaklah dirapatkan dan pendapatan luar bandar perlu dinaikkan pada tahap lebih tinggi," katanya. Dalam pada itu, Najib mengingatkan warga pendidik Kemas untuk terus kekal relevan dengan meningkatkan keupayaan dan roh perjuangan dalam menjalankan amanah mendidik anak bangsa serta generasi masa hadapan agar golongan muda menjadi generasi berilmu dan berakhlak mulia. "Keupayaan guru-guru tadika dan taska perlu lebih berkesan dalam usaha membangunkan dan mencorakkan generasi muda untuk memberi sumbangan yang cukup bernilai kepada masa depan negara kita," katanya, sambil menambah warga Kemas adalah pejuang kepada negara, bangsa dan masa depan bersama. Katanya komitmen dan profesionalisme pendidik Kemas wajar ditingkatkan agar Kemas sentiasa menjadi agensi relevan sepanjang masa dan tidak ketinggalan zaman. "Saya mahu melihat Kemas sebagai agensi pemangkin kepada transformasi sosial di luar bandar agar ia dilihat sentiasa dinamik dan berinovatif," katanya. Turut hadir pada majlis itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kemas Datuk Hassan Mohd Amin. - BERNAMA