CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan siasatan bersama Jawatankuasa Khas Membanteras Penyalahgunaan Media Sosial berkenaan maklumat yang tersebar dalam media sosial mengenai kewujudan kumpulan pedofil tempatan dalam aplikasi Telegram. Ketua Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datin Mai Zairani Zainal Abidin berkata, melalui jawatankuasa itu, SKMM bersama Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan menyeluruh berkenaan isu itu. "Kita menyedari mengenai kes yang diviralkan itu dan walaupun masih tiada aduan rasmi dibuat, Jawatankuasa Khas ini telah pun memulakan siasatan mengenainya," katanya pada sidang media di sini, Jumaat. Kewujudan kumpulan itu didedahkan oleh aktivis hak asasi manusia, Syed Azmi Alhabshi dalam laman Facebook miliknya, yang memberi amaran tentang kewujudan golongan seumpama itu di Malaysia. Menurut Mai Zairani, kes pedofil lazimnya disiasat oleh pihak polis sementara SKMM menjalankan tanggungjawabnya dari segi siasatan forensik ke atas platform komunikasi yang digunakan. "Kita tahu bahawa aplikasi Telegram hanyalah platform yang digunakan kumpulan itu untuk berkomunikasi dan berkongsi bahan berkenaan namun jenayah juga dilakukan secara luar talian ketika berada di luar sana," katanya. Dalam pada itu, Mai Zairani memaklumkan bahawa SKMM menerima dan menyiasat sebanyak 62 aduan berkaitan penyalahgunaan media sosial antara Januari hingga Mei tahun ini, peningkatan 63 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. "Untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, empat kes telah berjaya didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) manakala empat lagi kes masih dibicarakan," katanya. Di bawah akta itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman setahun penjara atau denda maksimum RM50,000. Katanya SKMM juga mengeluarkan tawaran kompaun terhadap dua individu atas kesalahan yang sama sementara kes selebihnya masih dalam proses siasatan. "Kami menerima aduan melalui pelbagai sumber termasuk pengadu yang datang ke SKMM, membuat aduan secara online (luar talian) di laman web rasmi SKMM serta jabatan dalam SKMM dan agensi penguatkuasaan lain," kata Mai Zairani. Katanya kesalahan tersebut merangkumi aktiviti seperti menghantar dan memuat naik kandungan yang dianggap oleh pengadu sebagai sumbang, lucah, mengancam, jelik dan palsu. "Kami turut mengalu-alukan pengguna media sosial untuk lebih prihatin dan membuat aduan kepada SKMM jika didapati terdapat mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial," katanya. Mai Zairani berkata aduan boleh dibuat kepada Pusat Aduan SKMM melalui hotline 1 800 188 030, e-mel kepada [email protected] ataupun melalui aplikasi Whatsapp nombor 016-2206262.-- Bernama