KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad supaya memfailkan pembelaan bagi saman fitnah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 17 Jun ini. Timbalan Pendaftar K. Pavani menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya. Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mukhriz, memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga menetapkan 14 Julai ini untuk pengurusan kes itu di hadapan Hakim Datuk Roslan Abu Bakar. Mukhriz, 51, memfailkan saman terhadap Tengku Sharifuddin, 54, pada 3 Mei lepas dengan mendakwa defendan mengeluarkan empat kenyataan fitnah pada 15,20,23 dan 26 April lepas.-- Bernama