NILAI: Bersempena dengan kedatangan Ramadan tahun ini, pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan kempen "Ramadan Tanpa Asap", dalam usahanya menghentikan amalan merokok dan menghisap vape dalam kalangan warga universiti. Pengerusi Lembaga Pengarah USIM Profesor Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak berkata kempen itu bertujuan memberi kesedaran dan menyediakan psiko-pendidikan kepada warga USIM yang ingin berhenti merokok dan menghisap vape dengan menjadikan keberkatan Ramadan ini sebagai permulaan untuk mereka berhenti. "Pada awal tahun ini, kita telah kuat kuasakan kampus sebagai zon larangan merokok dan vape dengan bentuk hukuman tertentu dikenakan berbentuk kompaun dan tatatertib. Namun apa yang lebih penting adalah usaha untuk memberi kesedaran akan bahaya rokok dan vape kepada kakitangan dan pelajar secara berterusan termasuklah menyediakan ruang kepada perokok tegar yang mahu berubah menyertai modul-modul yang disediakan melalui Klinik Berhenti Merokok," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat. Dzulkifli berkata USIM memilih slogan "Ramadan Tanpa Asap" sebagai satu bentuk motivasi kepada perokok tegar yang ingin berhenti merokok. Kempen ini merupakan kesinambungan dari Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada 31 Mei setiap tahun.-- Bernama