suria

Premis Makanan Diingat Elak Tipu Sijil Halal Sepanjang Ramadan

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom merangkap Ahli Parlimen Jerai (tengah) beramah mesra dengan 10 penerima bantuan rumah tiap satu bernilai RM50,000 sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi projek Baiti Jannati di Sungai Daun, dekat Yan, Sabtu.

YAN: Premis makanan yang beroperasi sepanjang bulan Ramadan diingat supaya tidak melakukan penipuan berhubung perakuan sijil halal yang sah bagi memastikan makanan yang dijual tidak diragui oleh umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, isu halal menjadi keutamaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana semasa Ramadan terdapat pelbagai jenis makanan akan dihidangkan kepada pengguna Islam untuk berbuka puasa.

Walau bagaimanapun, Jamil Khir berkata dalam isu memperoleh sijil halal adalah atas sukarela pihak premis makanan berkenaan dan tidak bersifat wajib kerana terdapat kekangan tertentu dalam konteks pasaran yang perlu diambil kira.

"Saya harap peniaga yang tidak mempunyai perakuan sijil halal dapat memastikan makanan yang hendak dijual kepada pembeli yang beragama Islam dapat disediakan dengan bersih, tidak mengandungi bahan campuran haram dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Jakim.

"Pembeli juga perlu yakin semasa hendak membeli makanan dan sekiranya masih berasa was-was, mereka dinasihatkan supaya untuk mencari premis makanan yang mempamerkan sijil halal sah yang dikeluarkan oleh Jakim sendiri," katanya selepas Majlis Perasmian Rumah Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sungai Daun, di sini, Sabtu.

Jamil Khir yang juga Anggota Parlimen Jerai berkata Jakim akan sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala sepanjang Ramadan bagi memastikan semua premis makanan seperti restoran dan hotel yang menawarkan bufet Ramadan menyediakan makanan yang halal.

"Pemantauan dijalankan sepanjang tahun tetapi dalam bulan Ramadan ini hotel-hotel, restoran-restoran dan kedai makan yang menjual makanan kepada orang ramai berbuka puasa memerlukan pemantauan yang lebih rapi," katanya.

Jamil Khir berkata pemantauan itu juga bagi memastikan sijil perakuan halal masih sah digunakan dan tidak tamat tempoh.-- Bernama

Jamil Khir Baharom, Ramadan, Jakim

Artikel Sebelum

Artikel Lain