KOTA KINABALU: Pendakian ke Gunung Kinabalu oleh keluarga Jhala dari Singapura disifatkan sebagai ekspedisi 'menjejak langkah' mendiang Sonia Jhala, 12, yang terkorban dalam insiden gempa bumi tahun lepas.
Bapa Sonia, Jaidip Jhala, 49, bersama isteri dan dua lagi anak mereka akan melengkapkan hasrat pendakian mendiang yang tidak kesampaian itu.
Sonia adalah seorang daripada sekumpulan 29 pelajar dan lapan guru mengikuti lawatan ke Gunung Kinabalu semasa tragedi itu.
"Kami telah memutuskan untuk menyelesaikan apa yang anak bongsu saya tidak dapat lakukan," kata Jaidip.
Dia akan membuat pendakian selama tiga hari bersama isterinya Karen, serta anak perempuan mereka Karisma, 19, dan anak Dillion, 17.
Sementara itu satu majlis berhampiran pintu Timpohon di Taman Kinabalu diadakan pada pagi Jumaat.
Rombongan dari Singapura itu turut menanam pokok bagi memperingati mangsa yang meninggal dunia.
"Pokok ini melambangkan kehidupan yang baharu. Semoga mereka berehat dengan aman," kata John Quok, bapa kepada seorang kanak-kanak yang terselamat.
Katanya ia juga sebagai ingatan kepada pemandu kembara warganegara Singapura, Muhammad Daanish Amran.