suria

MCA Ubah Cara Berkempen - Chong

Chong Sin Woon.

SABAK BERNAM: ‎MCA dalam proses mengubah corak berkempen parti itu yang sudah lapuk, kata Ketua Pemudanya Chong Sin Woon.

"Menganjurkan makan malam besar, cabutan bertuah dengan motosikal ditawarkan sebagai hadiah utama - tiada lagi kempen seperti itu, ia tidak berkesan sama sekali," kata Chong.

Beliau berkata MCA perlu tampil dengan pendekatan 'rendah hati'.

"Sekarang tiba masa untuk mendengar, menganjurkan tinjauan mesra dan mendekati pengundi," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan mesra di Sekinchan bersama dengan calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi.

Chong merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar membantu kempen Budiman.

"Jika kita melakukan apa yang kita selalu lakukan dan menganjurkan majlis makan malam sepanjang tempoh berkempen, hanya orang yang sama akan datang untuk makan dan mendengar ceramah setiap malam. Mereka mungkin bukan pengundi," kata Chong.

Beliau berkata ia adalah hasrat Budiman untuk melepaskan sebarang aktiviti kempen secara mewah dalam pilihan raya kecil itu.

"Kami menghormatinya dan pendekatan ini sejajar dengan apa yang dikehendaki MCA. Budiman adalah calon terbaik untuk kami sokong. Beliau berfikiran terbuka, sederhana, bersuara lantang dan sanggup melibatkan diri dengan perbincangan," kata Chong.

Artikel Lain