suria

Budiman Ada Strategi Tarik Pengundi Cina

Budiman melayan pengundi Cina ketika melakukan tinjauan mesra sekitar Sekinchan bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon, Sabtu.

SUNGAI BESAR: Barisan Nasional (BN) mempunyai strateginya tersendiri dalam usaha memenangi hati pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan.

Calon BN, Budiman Mohd Zohdi bagaimanapun berkata strategi tersebut tidak akan didedahkan secara terbuka.

Katanya, sebagai calon yang mewakili parti, apa yang diutamakannya adalah meneruskan perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasannya, DUN Sungai Panjang sehingga ke DUN Sekinchan.

Dua DUN tersebut terletak di bawah Parlimen Sungai Besar.

"Strategi saya tak akan bincang di sini.

"Tapi saya akan terus memanjangkan perkhidmatan saya dari DUN Sungai Panjang ke DUN Sekinchan," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Seri Bernam di sini, Ahad.

Budiman mengulas mengenai cabaran BN untuk meraih undi kaum Cina di Sekinchan yang dikuasai DAP, di bawah Adun Ng Suee Lim.

Setiausaha BN Selangor ini berkata, dalam tempoh berkempen yang sudah bermula, beliau mempunyai kelebihan sebagai anak tempatan.

"Saya anak tempatan, saya dah lama bersama mereka, bersama nelayan dan petani. Saya tahu apa masalah mereka," katanya.

Jelasnya, pada PRK ini BN akan turun bertanding dengan kekuatan dalaman tanpa memberi tumpuan kepada beberapa masalah luaran.

"Apa yang berlaku di luar itu masalah mereka, kita kena fokus kekuatan dalaman kita untuk menang," katanya


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain