KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menolak dakwaan beliau tidak mampu menjaga kebajikan penduduk kerana bukan anak tempatan. Menurutnya, isu itu tidak timbul kerana walaupun tidak dilahirkan di Kuala Kangsar tetapi beliau sentiasa berkhidmat untuk masyarakat di sini sejak hampir 30 tahun lalu. "Saya telah 25 tahun di sini. Saya telah menjadi orang Kuala Kangsar. Anak-anak saya adalah testimoni terbaik untuk dilihat. "Kalau saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar sudah pastinya saya perlu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat. "Itu perkara biasa, sebelum ini juga begitu. Tetapi apa yang penting ialah khidmat saya di sini, bagaimana saya menjaga kebajikan penduduk Kuala Kangsar," jelas beliau pada sidang media di rumahnya pada petang Ahad. Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manong, Datuk Mohd Kamil Shafie dan Adun Bukit Chandan, Maslinsham Razman. Ketika ditanya mengenai dakwaan beliau telah dipaksa untuk bertanding pada PRK kali ini, Mastura memberitahu, tiada sesiapa yang memaksanya untuk bertanding tetapi ia merupakan penghormatan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberi penghormatan dengan memilih saya sebagai calon. "Saya akan berjuang sebaik mungkin untuk meneruskan kepimpinan yang ditinggalkan Allahyarham," jelasnya.