KUNDASANG: Sebuah monumen daripada batu granit telah dibina sebagai memperingati tragedi gempa bumi Sabah yang mengorbankan 18 nyawa termasuk malim gunung, setahun lalu. Monumen yang merupakan serpihan bongkah batu yang runtuh semasa kejadian itu diletakkan di Kiau Gate, kira-kira satu kilometer dari Timpohon Gate, iaitu tempat bermulanya pendakian ke Gunung Kinabalu. Monumen yang tertera tarikh, peristiwa dan nama mangsa gempa bumi itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun sempena upacara memperingati setahun tragedi di Taman Kinabalu di sini, Ahad. Bercakap kepada pemberita selepas itu, Masidi berkata monumen itu adalah simbolik serta cerminan perasaan sayu dan sedih atas pemergian mangsa yang terkorban, sebahagian besar adalah pelajar sekolah rendah dari Singapura. "Kami mendirikan monumen ringkas ini sebagai usaha untuk memberi peringatan kepada generasi akan datang bahawa sejarah sedih berlaku di sini (Gunung Kinabalu) pada 5 Jun 2015. "Ini juga akan memperingatkan kami untuk menjadikan pendakian ke Gunung Kinabalu bukan sahaja satu pengalaman indah tetapi usaha berterusan memastikan keselamatan semua pendaki (terjamin)," katanya. Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Ranau pada 7.15 pagi, 5 Jun 2015 dan dicatatkan sebagai paling kuat pernah berlaku di Malaysia, dalam tempoh 39 tahun sejak 1976, sekali gus mengatasi rekod gempa bumi terkuat berukuran 5.8 skala Richter di Lahad Datu pada 1976. Dalam pada itu, Masidi turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama kerajaan Singapura dalam usaha menguruskan warganegaranya sama ada yang terkorban atau selamat dalam tragedi itu, dan dalam masa sama, melahirkan penghargaan kepada pelbagai agensi, pasukan penyelamat dan malim gunung yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. Masidi juga memaklumkan 20 warga Singapura terdiri daripada anggota keluarga mangsa insiden berkenaan, telah memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu semalam bagi menyempurnakan misi anggota keluarga mereka yang terkorban untuk menjejakkan kaki di puncak Gunung Kinabalu. "Inilah bukti ungkapan kasih sayang terunggul dipamerkan ibu bapa pelajar sekolah yang terkorban itu dalam memenuhi cita-cita anaknya yang tidak kesampaian untuk menakluki puncak Gunung Kinabalu," katanya. Pada upacara memperingati tragedi gempa bumi itu, Masidi mengetuai upacara bertafakur selama seminit sebelum meletakkan jambangan bunga di atas monumen berkenaan diikuti pihak pengurusan Taman-Taman Sabah, Taman Kinabalu dan beberapa waris malim gunung yang terkorban. Dalam perkembangan berkaitan, Masidi berkata laluan pendakian baharu iaitu laluan Kota Belud, yang telah siap 80 peratus, dijangka dapat beroperasi dalam tempoh sebulan dari sekarang. "Kami juga dalam proses berterusan untuk menaik taraf dan meningkatkan laluan (pendakian) Ranau yang sudah pun digunakan. "Walaupun pendaki boleh menggunakannya, tetapi kami jangka ada dua peratus lagi untuk menyempurnakan (pembaikan) laluan itu kerana kami mahu memastikan laluan itu bukan sahaja (memberi) pengalaman tetapi ia juga selamat," katanya.-- Bernama