SUNGAI BESAR: Kepayahan hidup seorang warga emas pemegang kad pengenalan merah untuk mendapatkan kad pengenalan biru mendapat perhatian Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Isnin. Naib Pengerusi Gerakan Special Task Force for Citizenship, Ben Liew Pok Boon berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk membantu You Ah Gong, 70, bagi menyelesaikan masalah yang dihadapnya sekian lama. "Kami (Gerakan) akan membantu You sehingga dia mendapat IC biru kerana dia melalui banyak kesukaran seperti susah dapat kerja dan mendapat bantuan kerajaan (BR1M)," katanya kepada pemberita semasa melawat rumah You di Sekinchan, Selangor pada Isnin. You yang pernah bekerja sendirian sebagai pembuat perabot menzahirkan rasa terima kasih kepada Gerakan dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana sudi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya sejak dia dilahirkan 70 tahun lalu. Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong yang turut melawat You berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai kes You semasa parti itu berkempen di kawasan rumah warga emas itu. Setakat ini, Gerakan telah membantu 30 kes seumpama You, terutama kes warga tua berumur lebih 70 tahun yang telah menetap di Malaysia sebelum 31 Ogos 1957. Sementara itu, calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang turut meluangkan masa melawat You berkata, beliau bukan berada di situ atas dasar mahu memancing undi, tetapi lebih kepada memastikan kebajikan warga tua seperti You lebih terjamin. PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Budiman; calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada parti Amanah, yang mewakili Pakatan Harapan. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan selepas penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. - Bernama