suria

180 Ekor Ayam Tempayan Habis Dalam Masa Tiga Jam

Rozana Abdul Manaf

DUNGUN: Rozana Abdul Manaf, 28, tidak menjangka 'ayam tempayan' yang dijualnya mendapat permintaan hangat walaupun Ramadan baru bermula.

Menurutnya di hari pertama Ramadan, kesemua 180 ekor ayamnya habis dijual dalam tempoh kurang daripada tiga jam sahaja.

Namun beliau yang berniaga di Bazar Sura Gate di sini bersama empat anggota keluarga dan pekerja berkata mungkin cuti persekolahan kali ini menjadi antara penyebab ayam jualannya mendapat sambutan luar jangkaan.

"Saya jual seekor ayam RM20 (separuh dengan harga RM11). Tahun ini harganya lebih murah berbanding tahun lepas iaitu antara RM22 hingga RM24.

"Tahun ini saya dapat turunkan harga sebab saya memperoleh harga ayam yang lebih murah daripada pembekal," katanya kepada Bernama.

Rozana berkata walaupun harga beberapa bahan utama untuk menghasilkan rempah yang akan disalut pada ayam meningkat sedikit berbanding tahun lalu, namun beliau tetap menjual pada kadar yang berpatutan.

"Ada bahan yang meningkat antara 10 sen hingga 30 sen, tapi kami cuba sedaya upaya untuk jual ayam dengan harga yang lebih rendah," katanya.

Mengenai keistimewaan ayamya, Rozana sempat berkongsi rahsia bahawa ayamnya akan diperap dengan ramuan rempah ratus khas yang menjadi warisan keluarganya sejak 30 tahun lalu sebelum dipanggang di dalam tempayan besar.

"Ayam akan diperap terlebih dahulu selama beberapa jam sebelum dimasak di dalam lapan buah tempayan yang dibawa ke bazar ini. Tempoh memasaknya pula memakan masa hingga satu jam.

"Ia dimasak menggunakan bara arang sehingga menghasilkan isi yang lebih lembut berbanding ayam yang digoreng," jelasnya.

Seorang pembeli Athirah Najwa Ahmad, 29, berkata beliau datang dari Bukit Besi semata-mata untuk membeli ayam tempayan Rozana.

"Saya memang minat dengan ayam tempayan ini kerana ia dimasak tanpa minyak. Lagi pun jarang orang jual ayam tempayan. Ayam di gerai ini memang lebih murah berbanding gerai lain," katanya.

Artikel Lain