SUNGAI BESAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata beliau tidak akan hadir di Parlimen jika Rang Undang-Undang Persendirian oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung akta mahkamah syariah mahu diluluskan. "Saya tidak berada di sana pada hari ia dibentangkan. Saya perlu konsisten dengan pendirian peribadi dan pendirian pemimpin negeri saya," kata Nancy yang kini memangku jawatan Menteri Sumber Asli dan Komoditi. Nancy yang bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis yang dianjurkan oleh kementerian itu di sini berkata, beliau tetap dengan pendiriannya untuk tidak menyokong rang undang-undang kontroversi berkenaan. Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata Rang Undang-Undang tersebut tidak sesuai untuk masyarakat yang berbilang kaum dan agama lebih-lebih lagi di negeri asalnya iaitu Sarawak di mana orang bukan Islam mengatasi jumlah orang Islam. "Kita perlu faham, hudud atau tidak... apa yang mereka cuba lakukan adalah untuk meningkatkan hukuman dalam peruntukan undang-undang syariah. "Kami tidak menyokongnya kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi dan kita tidak perlu meningkatkan hukuman," katanya. Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada Ahad lalu berkata PBB tidak akan menyokong RUU tersebut.