suria

PRK Sungai Besar: "Kami Tak Cukup Duit" - Amanah

Antara papan iklan berbentuk provokasi dengan logo Amanah yang dinaikkan di sekitar Sekinchan.


SUNGAI BESAR: Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui bajetnya terhad, sekali gus menafikan parti itu mempunyai kaitan dengan beberapa papan iklan kempen provokasi yang dinaikkan di sekitar Sekinchan.

Pengarah Komunikasinya Khalid Samad berkata, Amanah tidak mempunyai kaitan dengan tindakan tidak berfaedah seperti itu, malah mengakui parti itu tidak cukup dana untuk melakukan sedemikian.

“Kami tak cukup duit untuk ‘billboard’ sendiri. Bendera pun jauh kalah dengan Barisan Nasional (BN), dengan PAS sebab kita parti baharu, bendera-bendera pun baharu, mereka (BN, PAS) bendera lima tahun lepas pun boleh pakai balik.

“Kami tidak ada duit untuk perkara-perkara ‘sampah’ seperti ini,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan di sini, Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita sama ada Amanah bertanggungjawab terhadap beberapa papan iklan kempen pilihan raya berbentuk provokasi yang dipasang di sekitar Sekinchan pada Rabu.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga papan iklan yang muncul pada Rabu, dengan kata-kata ‘BN Rasuah, Rakyat Susah’, ‘Panggil Cina Babi tidak salah - Jamal, Ketua Bahagian Umno Sg. Besar dan ‘BN PAS Sehati Sejiwa, Rasis Rasuah Sama Sekali’.

Ketiga-tiga papan iklan berkenaan mempunyai logo Amanah di bahagian bawah.

Sambil menegaskan bahawa ia bukan perbuatan Amanah, mahu pun parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, beliau berkata, perkara ini boleh dilapor kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Soal siapa yang pasang, ia mungkin ‘operasi gelap’ bagi pihak BN sendiri yang nak timbulkan kemarahan pengundi terhadap kami, kononnya kamilah yang telah mencetuskan isu-isu kontroversi dan sebagainya.

“Ia juga mungkin ‘reverse psychology’ yang Umno buat sendiri, kemudian dia suruh pemberita tanya Amanah, kita tak tahu, ia tak ada kena-mengena dengan kami,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok yang turut hadir sidang media juga menafikan papan iklan itu dipasang oleh DAP.

Amanah, Sekinchan, Khalid Samad, billboard

Artikel Berikut

Artikel Lain