suria

PRK Sungai Besar: Calon BN Dekati Anak-Anak OKU

Budiman meluangkan masa bersama anak-anak OKU di PDK Sabak Bernam, Rabu.

SUNGAI BESAR: Tidak hanya tertumpu kepada kumpulan pengundi dalam kempennya untuk meraih undi, calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi turut turun padang bagi mendekati anak-anak kurang upaya (OKU).




Budiman berkata, Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bukan sesuatu yang asing bagi dirinya dan beliau kagum dengan ketabahan ibu bapa dan guru insan istimewa ini.

“Ini bukan sesuatu yang asing dengan saya sebab memang saya kerap berurusan dengan warga PDK. Kebimbangan saya adalah masa depan anak-anak PDK ini kerana mereka tak seharusnya tertakluk kepada silibus sedia ada.

“Setidak-tidaknya, mengikut tahap, mereka boleh bekerja di rumah yang tidak memerlukan mereka keluar, boleh lakukan aktiviti harian, saya fikir itu pun dah bagus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Jom Shopping Raya Bersama PDK Sabak Bernam’ di sini, Rabu.

Budiman turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada PDK Sabak Bernam dan jumlah yang sama akan diberikan kepada enam PDK yang lain di Parlimen Sungai Besar.

Budiman memberi contoh kerja yang boleh dilakukan termasuk tugas melipat sampul surat dan kerja-kerja pembungkusan di rumah, di mana keselamatan golongan itu lebih terjamin.

Terdahulu beliau meluangkan masa selama kira-kira 45 minit untuk bertemu dengan 152 anak-anak PDK Sabak Bernam dalam majlis anjuran Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih).

Menurut Budiman, dalam konteks ini pendidikan tidak harus dilihat dari segi akademik semata-mata, tetapi dari segi latihan dan vokasional.

“Bukan semua orang boleh pergi jauh dalam akademik. Kita terima hakikat anak-anak OKU ini ada tahap-tahapnya, ada yang boleh dan tak boleh bekerja, jadi mereka semua perlu diberi kemahiran untuk menjamin masa depan,” katanya.

Ditanya mengenai kempen yang masuk hari keempat, Budiman berkata penerimaan masyarakat terhadap BN adalah baik.

“Sebenarnya saya sudah mula kempen sejak tiga tahun dulu kerana saya jadi Adun Sungai Panjang, cuma saya kini menambah luas program-program saya di DUN Sekinchan,” katanya.

Artikel Lain