suria

Kapal Persiaran Mewah, Canggih Berlabuh Di Jeti Swettenham

GEORGE TOWN: Kapal persiaran mewah dan dilengkapi teknologi canggih di dunia berlabuh di Jeti Swettenham pada pelayaran sulungnya bersama dengan 5,738 penumpang dan anak kapal.

Kapal Ovation of the Seas yang mempunyai 18 dek dianggap sebagai salah sebuah kapal persiaran terbesar di dunia yang berlayar ke Malaysia dari Kochi, India pada pukul 7 pagi Selasa.

Tempoh persinggahan selama sembilan jam membolehkan kira-kira 4,091 penumpang dan 1,647 anak kapal untuk menikmati permandangan di sekitar negeri Pulau Mutiara itu.

Mereka menyewa 41 bas, empat van dan dua kereta untuk berjalan di sekitar Pulau Pinang.


Kapal seberat 168,666 tan itu mempunyai 2,090 ruang legar.

Pengarah Urusan Royal Caribbean International (Singapura dan Asia Tenggara) Sean Treacy berkata kapal persiaran tersebut merupakan kapal tercanggih dari segi teknologi dalam tujuh lautan dengan dilengkapi peralatan dan Gizmos untuk memberikan penumpang merasai percutian impian mereka.

"Kapal itu akan berlabuh semula di Pulau Pinang pada Mac dan April tahun depan dengan membawa ribuan pelancong ke pulau tersebut," katanya.

Kapal Ovation of the Seas menggunakan teknologi robot automatik sepenuhnya untuk membuat koktel.

Wi-Fi berasaskan satelit membolehkan semua penumpang melayari Internet sepanjang tempoh pelayaran dengan kelajuan jalur lebar di tengah lautan.

Dalam ruang legar kabin khas, skrin HDTV 2m tinggi akan memaparkan rakaman sepanjang pelayaran itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab menyambut ketibaan kapal persiaran tersebut.

Artikel Lain