suria

Kutip Zakat Tanpa Kebenaran Maiwp Boleh Dipenjara Dua Tahun

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) mengingatkan mereka yang mengutip bayaran zakat fitrah tanpa kebenaran majlis itu boleh diambil tindakan undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ-Maiwp) Mohd Rais Alias berkata mereka boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

"Jika sabit kesalahan, mereka akan didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis. 

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan mana-mana individu, syarikat atau pertubuhan yang mendakwa sebagai ejen kutipan zakat tanpa kebenaran Maiwp.

Mereka boleh menghubungi talian zakat PPZ-MAIWP di 1-300-88-5757 atau layari www.zakat.com.my untuk pengesahan, katanya.

Mohd Rais berkata, kadar zakat fitrah bagi Wilayah Persekutuan tahun ini kekal RM7, dan pihaknya juga akan memberikan dua set buku mengenai zakat bagi tujuan mendidik umat Islam terutama generasi muda tentang penting membayar zakat.

Bagaimanapun jumlah buku itu terhad, hanya yang awal membayar zakat berpeluang untuk memilikinya secara percuma, katanya. 

Beliau berkata pihaknya sejak Isnin lepas telah memuat naik video panduan membayar zakat yang berdurasi tiga minit di laman www.youtube.com/PPZTV dengan satu panduan sehari dalam usaha mendidik masyarakat Islam mengenai zakat. 

Sebanyak 30 tips yang disampaikan oleh beberapa ahli panel akan dimuat naik dalam laman web itu sempena bulan Ramadan, katanya. 

Menyentuh mengenai kaunter PPZ-MAIWP, katanya sebanyak 10 kaunter akan beroperasi setiap hari sepanjang Ramadan dari jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang, iaitu di Taman Shamelin Perkasa Cheras, Masjid Negara, Wangsa Maju Seksyen 5, Putrajaya Presint 9 dan Putrajaya Presint 15 Diplomatik. 

Selain di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Daruzzakah Lorong Haji Hussein 2, Masjid Al-Imam Al Ghazali Kepong, Masjid Abd Rahman Bin Auf Jalan Puchong dan Labuan Times Square. 

Sementara kaunter di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral beroperasi dari jam 8.15 pagi hingga 5 petang. -- Bernama 



Maiwp, Mohd Rais Alias, zakat fitrah

Artikel Lain