KUALA LUMPUR:"Hanya sebab awak nak pinjam baldi dia (mangsa) awak bunuh dia ... semata-mata baldi awak bunuh dia. "Secara peribadi saya tengok tidak ada satu sebab untuk awak bunuh dia, mangsa adalah jiran awak, awak bunuh dia macam awak bunuh ibu awak sendiri," kata Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Shariff Abu Samah sambil menangis teresak-esak. Beliau yang jelas amat sedih dengan kejadian itu kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas penganggur Rasid Osias, 37, yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Swa Kim Chia @ Chua Ah May, 71, dua tahun lepas. Mohamad Shariff memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut dari tarikh dia ditangkap pada 23 Julai 2014. Hakim berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius dan masyarakat mengutuk perbuatan itu serta tidak boleh bertolak ansur dengan jenayah tersebut. Beliau berkata seorang ibu yang tua pada kebiasaannya akan menghabiskan sisa hidupnya untuk bergembira bersama dengan rakan-rakannya, dan keadaan yang menyedihkan ini menyebabkan trauma kepada cucu dan anak mangsa. Mohamad Shariff juga menasihatkan tertuduh supaya insaf dan bertaubat dengan perbuatannya. Rasid didakwa melakukan perbuatan itu di alamat 95A, Jalan Union Off Jalan Sentul, Sentul pada 6.30 petang, 23 Julai 2014, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Kitson Foong. Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar keterangan saksi pihak pendakwaan, bagaimanapun tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kematian wanita itu. Sebanyak tujuh saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk doktor, ahli kimia dan jiran pada perbicaraan kes itu.-- Bernama