suria

Shahrir Yakin BN Mampu Kekalkan Kerusi Kuala Kangsar

Calon Barisan Nasional Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid (dua kanan) bersama Pengerusi BNBBC (Barisan Nasional Back-Benchers’ Club) Tan Sri Shahrir Abdul Samad (kanan) pada sidang media di kediaman Mastura, Khamis. Hadir sama empat orang anak lelaki calon BN ini, Wan Iskandar, 23, Wan Muhammad Amar, 19, Wan Imar Izzat, 25, dan Wan Emir Astar, 26.

KUALA KANGSAR: Veteran Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar akan datang berdasarkan kepada faktor calon.

Beliau berkata walaupun calon BN Datin Mastura Mohd Yazid bukan anak jati kawasan itu, namun kelebihan akan berpihak kepadanya kerana telah lama menetap di Parlimen itu selain dikenali ramai. 

"Calon kita berpotensi mendapat kepercayaan pengundi di Kuala Kangsar kerana sudah dikenali serta beliau mewakili parti yang perjuangannya masih relevan.

"Berbeza dengan saya semasa menjadi calon payung terjun di Johor Baharu pada tahun 1978 hanya satu peratus yang mengenali saya berbanding Kak Mas (Mastura) lebih dikenali masyarakat dan pengundi," katanya yang turut hadir pada sidang media calon BN di sini, Khamis. 

Menjelas lanjut, Shahrir yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata kesebatian calon dengan penduduk setempat adalah lebih penting berbanding asal usul calon berkenaan.

Selain itu, beliau berkata kekuatan BN di Kuala Kangsar merupakan faktor penting yang akan membawa kemenangan kepada parti itu pada PRK 18 Jun ini. 

"Saya analisakan di Kuala Kangsar kalau dibandingkan pada pilihan raya Umum ke-12 (PRU12) dan PRU13, UMNO di sini boleh dikatakan menunjukkan kekuatan," katanya.

Dalam pada itu, Shahrir berkata dengan kemenangan Mastura pada PRK Kuala Kangsar nanti, ia dapat menambah suara wanita di dalam Parlimen.

"Memang itu menjadi tuntutan bahawa suara wanita harus ditambah bukan sahaja di Parlimen tetapi di Dewan Undangan Negeri, ia tidak boleh dinafikan dan sokongan wanita amat penting kepada UMNO dan BN," katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. 

Pilihan raya itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas.-- Bernama


Artikel Lain