suria

KDN Cadang Wujud Akta Baharu Terhadap Pedofilia

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang mewujudkan akta baharu di negara ini bagi memastikan pesalah pedofil menerima hukuman sewajarnya.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

"KDN akan berbincang dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk menilai keperluan untuk mengadakan akta khas Pesalah Seksual atau Sexual Predators Act seperti di United Kingdom.

"Ini bertujuan untuk menyiasat dan mendakwa pesalah seksual pedofil walaupun mereka melakukan jenayah itu di negara lain," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya mendapati kebanyakan pesalah pedofil aktif melakukan kegiatan di luar negara mereka.

"Pesalah seksual ini didapati melakukan aktiviti mereka di luar negara asal untuk mengelakkan tindakan undang-undang yang sekarang ini tidak efektif merentas sempadan," katanya.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Agensi Anti Jenayah Kebangsaan (NCA) United Kingdom bagi mengesan aktiviti pedofil di negara ini.

"Pertukaran maklumat dan kerjasama rapat pelbagai agensi polis antarabangsa perlu dipertingkatkan dan kita perlu menambah baik peranan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dan kesedaran masyarakat terhadap pesalah seksual ini," katanya.

Pada Isnin lalu seorang pedofil warga Britain Richard Huckle dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London kerana melakukan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.

Reuters melaporkan bahawa Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemukan lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Media Britain melaporkan bahawa Huckle, seorang jurufoto bebas, mungkin telah melakukan penderaan seksual melibatkan sehingga 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsanya adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur.

Pedofilia

Artikel Lain