KUALA KANGSAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan khas kejatuhan harga getah 2016 kepada 388,111 pekebun kecil di seluruh negara bagi meringankan beban mereka. Beliau berkata, bantuan itu melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM194 juta. Bantuan khas RM500 itu dibayar secara 'one off' kepada semua penerima bermula hari ini, katanya. "Ini (bantuan) bukan kerana pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, kerana kita telah beri bantuan ini pada 2013, 2014 dan ini adalah kali ketiga. "Kalau ada yang kata bantuan itu disebabkan PRK itu tak betul. Ini soal kebajikan masyarakat luar bandar," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kejatuhan harga getah 2016 di sini, Jumaat.-- Bernama