suria

Terowong: Lim Hock Seng Sedia Jumpa Abdul Rahman Dahlan

Lim Hock Seng

GEORGE TOWN: Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pulau Pinang Lim Hock Seng sedia berjumpa dengan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan bagi menjelaskan mengenai projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang pada Khamis depan (16 Jun).

"Saya akan pergi ke luar negara esok dan bersedia berjumpa beliau di pejabat saya pada Khamis minggu depan," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata pihaknya sudah berkali-kali menjemput Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke pejabatnya bagi meneliti dokumen berkaitan projek itu, namun Abdul Rahman enggan berbuat demikian.

Lim menjelaskan kos keseluruhan tiga projek jalan utama dan sebuah terowong di Pulau Pinang adalah sebanyak RM6.34 bilion yang dibiayai melalui gantian tanah dan pengenaan tol untuk terowong dasar laut sahaja.

"Projek terowong dasar laut bernilai RM3.7 bilion dan bukan RM6.34 bilion seperti yang didakwa dan ia tidak akan dibina sekarang tetapi dijangka siap pada tahun 2027 apabila trafik di jambatan pertama dan kedua mulai sesak," katanya.

Selain itu, Lim berkata kajian kebolehlaksanaan untuk projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang adalah RM20 juta dan bukan RM305 juta seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata tidak ada pembayaran sama ada dalam bentuk wang tunai atau pun serahan seinci persegi tanah dibuat sehingga kini.

"Pada masa ini, kajian kebolehlaksanaan untuk projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang baru mencapai kemajuan 83 peratus dan masih belum dapat dikemukakan kepada kerajaan persekutuan," katanya.

Katanya, nilai tanah yang termaktub dalam perjanjian antara kerajaan negeri dengan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) adalah RM1,300 sekaki persegi, dengan mengambil nilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) untuk tanah gantian pada kadar RM475 sekaki persegi sebagai asas.

Beliau sekali lagi menegaskan kontrak projek itu diberikan secara tender terbuka dan CZBUCG dipilih kerana menawarkan harga yang paling rendah dan memenuhi keperluan spesifikasi teknikal.

Lim turut menafikan dakwaan Abdul Rahman bahawa fi perunding untuk 'civil  and  structural' projek kerajaan negeri adalah 11 peratus, sebaliknya jumlah yang dibayar kepada CZBUCG hanya 2.5 peratus (iaitu kurang daripada 2.54 peratus skala kadar yang ditetapkan Lembaga Jurutera Malaysia).

Mengenai isu pegangan saham China Railway Construction Corporation Limited (CRCC) dalam CZBUCG yang sudah menurun, Lim berkata hak dan kepentingan kerajaan negeri tidak terjejas kerana CRCC dan Beijing Urban Construction Group (BUCG) telah menurunkan tanda tangan secara berasingan sebagai syarikat individu dalam perjanjian awal dengan kerajaan negeri.

"Ini bermakna CRCC dan BUCG secara individu juga sama terikat dengan kerajaan negeri dalam pelaksanaan projek. Tambahan pula, ada satu projek usahasama antara Zenith Construction Sdn Bhd dengan CRCC untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang juga bersedia memberikan kerjasama terhadap sebarang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung projek terowong dasar laut ini.