suria

Terima Kasih PM - Mastura

Mastura pada sidang media di kediamannya, Sabtu. -fotoBERNAMA

KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merealisasikan dua daripada lima agenda yang diperjuangkannya.

Mastura, 55, berkata beliau bersyukur dengan pengumuman perdana menteri semalam yang meluluskan peruntukan sebanyak RM43.5 juta bagi pembinaan Jambatan Manong merentasi Sungai Perak, serta menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) yang diberikan status universiti.

"Syukur kerana dua agenda ini ditunaikan serta merta, terima kasih kepada PM dan saya juga merakamkan junjungan kasih kepada Duli Tuanku Sultan Perak Sultan  Nazrin Shah atas perkenannya dan memberi kebenaran kepada usaha ini.

"Khabar gembira ini juga disambut baik masyarakat apabila saya sendiri mendapat maklum balas positif terutama dari penduduk Manong berkaitan pembinaan jambatan yang sudah begitu lama diperjuangkan arwah suami (Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ditemani anak bongsunya, Wan Muhammad Amar, 19, di kediamannya di Bukit Chandan, di sini, Sabtu.

Mastura berkata beliau akan terus memperjuangkan tiga lagi agenda iaitu memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar menjadi Hospital Pakar serta membangun semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

"Usaha menaik taraf Hospital Kuala Kangsar menjadi Hospital Pakar juga akan diteruskan biarpun ada suara-suara yang berkata ia sukar untuk dilaksanakan.

"Perkara itu merupakan permintaan terbesar rakyat Kuala Kangsar ketika arwah masih hidup kerana mereka terpaksa merujuk ke Hospital Taiping berkaitan rawatan pakar dan kadang kala proses ini melibatkan nyawa," katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga suami Mastura, Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan calon Bebas.

Pengundian pada 18 Jun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain