KUALA LUMPUR: Mandat misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) perlu realistik dan boleh dilaksanakan susulan penugasan pasukan ke kawasan persekitaran yang semakin rumit dan mencabar. Wakil Tetap Malaysia di PBB, Datuk Ramlan Ibrahim berkata kerjasama danpenyelarasan tiga penjuru menjadi tonggak dalam fasa menggubal mandat maka penekanan sama perlu diasaskan dengan melibatkan negara-negara tuan rumah. "Penglibatan negara tuan rumah termasuk juga dalam aturan Status Persetujuan Misi (SoMA) dan Status Perjanjian Pasukan (SOFA) dengan PBB bagi tujuan memastikan kelancaran penghantaran anggota tentera dan aset," katanya. Beliau berkata demikian pada perbahasan terbuka peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB bertajuk: "Perlindungan Orang Awam Dalam Konteks Operasi Pengaman' di New York pada Sabtu. Teks ucapannya dihantar ke Bernama pada Ahad. Selain itu, katanya perkongsian kerjasama yang berkesan adalah sama penting untuk operasi pengaman PBB terutama bagi melaksanakan mandat melindungi orang awam dengan berkesan. Menurutnya, pengajaran berat di Bosnia, Rwanda dan beberapa tempat lain telah memberikan maklumat mengenai peranan PBB terutama berkaitan dengan keberkesanan operasi pengaman dalam memacu usaha kolektif bagi mengutamakan perlindungan orang awam.