suria

“Kami Disokong MB Selangor”, Kata Amanah Kepada PAS

Khalid Samad.

SUNGAI BESAR: Parti Amanah Negara (Amanah) membidas tindakan PAS yang mempertikaikan mengenai kedudukannya dalam kerajaan negeri Selangor.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, parti itu mendapat sokongan majoriti Pakatan Harapan yang mempunyai 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berbanding PAS yang mempunyai 13 Adun.

“Pakatan Harapan ada 29 Adun dalam kerajaan negeri. Kalau 29 banding dengan 13, jelaslah 29 lagi besar.

“Kita disokong oleh menteri besar, oleh exco-exco PKR dan DAP yang jauh melebihi jumlah exco yang ada dalam PAS,” katanya kepada pemberita di pejabat Amanah Sungai Besar di sini, Isnin.

Khalid menjawab kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad bahawa Amanah tidak layak untuk menabur janji kepada pengundi di Sungai Besar kerana tidak mempunyai wakil dalam kerajaan negeri.

Iskandar turut mempersoalkan kempen yang dijalankan Amanah, seolah-olah parti itu berada dalam pentadbiran terdahulu dan pentadbiran semasa kerajaan Selangor.

“Saya cukup hairan kenapa ia diungkit oleh Iskandar kerana semestinya jika dakwaan kita tidak tepat, ia akan disanggah oleh menteri besar, PKR atau DAP sendiri.

“Jadi kita cukup berhak untuk bercakap bagi pihak kerajaan negeri Selangor dan menjanjikan beberapa tindakan atau janji-janji yang ada hubung kait dengan kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya, PAS kini bersendirian dengan 13 Adun, berbeza dengan Amanah yang mendapat sokongan PKR dan DAP.

"Atau dia (PAS) bersama Umno saya tak tahulah,” katanya.

Keseluruhannya, Selangor mempunyai 56 kerusi DUN.

Khalid Samad, Amanah, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain